KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd sedang meneroka kemungkinan untuk menyenaraikan AirAsia Digital atau AirAsia SuperApp di Amerika Syarikat (AS) seawal tahun ini.
Ia ketika syarikat penerbangan tambang rendah kedua terbesar Asia Tenggara itu merancang untuk mengembangkan operasi digitalnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Tony Fernandes.
“Kami menerima banyak pertanyaan daripada syarikat pengambilalihan tujuan khas (SPAC),” kata Tony dalam satu temubual.
“Kami sudah mengambil akauntan, justeru agak serius untuk mengubah akaun syarikat bagi mengikut kaedah di AS.”
Rancangan itu dibuat ketika AirAsia menggandakan strategi digital ketika pandemik terus menjejaskan perjalanan udara.
AirAsia pada Rabu mengumumkan pembelian perniagaan Gojek di Thailand menerusi terbitan saham dalam AirAsia SuperApp.
Syarikat penerbangan itu juga dijangka mengumumkan urus niaga membabitkan BigPay tidak lama lagi, yang mana penjanaan modal akan memberikan penilaian ‘amat baik’ kepada unit perniagaannya itu, kata Tony, tanpa memberikan butiran lebih lanjut.
Syarikat fintech itu turut memohon lesen perbankan digital di negara ini.
AirAsia juga melihat peluang besar unit logistiknya, Teleport dengan rancangan untuk menambah pesawat pengangkut barang September ini, kata Tony.
Ia akan menerima Boeing 737 pertama dalam angkatan pesawatnya, dengan syarikat penerbangan itu mempertaruhkan permintaan yang sedang berkembang daripada pembelian secara dalam talian.
“Logistik sedang bersedia dan matang. Kami boleh menjadi penghantar barang, kami boleh menjadi seperti DHL. Teleport adalah permata yang boleh digilap,” kata Tony.
Bekerjasama dengan Gojek akan membolehkan AirAsia menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam talian daripada perjalanan dan beli belah hinggalah penghantaran rentas sempadan, yang mewujudkan peluang pertumbuhan.
AirAsia sedang mengembangkan operasi digitalnya sejak beberapa tahun lalu dan Tony pada Mac lalu berkata perniagaan Super App akan menjana pendapatan AS$250 juta tahun ini, manakala perkhidmatan digital merangkumi 50 peratus jualan syarikat itu dalam lima tahun lagi.
Dalam temubual berasingan bersama Bloomberg TV, Tony berkata syarikat itu sedang dalam proses untuk tiga lagi pengambilalihan.
“Kami akan terus meninjau pengambilalihan yang dirasakan wajar,” katanya.
Beliau berkata, syarikat penerbangan itu menyasarkan pasaran yang tidak dipandang oleh sesiapa, memberikannya nilai dan mengembangkan ekosistemnya.-BH