KUALA LUMPUR, 8 Okt — airasia.com telah melancarkan identiti baharunya sebagai sebuah aplikasi super Asean, sekali gus melengkapkan transformasi AirAsia daripada sebuah syarikat penerbangan digital kepada platform gaya hidup yang komprehensif untuk semua.
Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata aplikasi super airasia.com itu menawarkan pengalaman pengguna yang lebih mudah, pantas dan lancar serta menyediakan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan di bawah tiga kategori utama — perjalanan, e-dagang dan teknologi kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com Karen Chan berkata pelancaran aplikasi super airasia.com ini adalah bukti budaya inovasi berterusan AirAsia dan ia juga sebagai dorongan untuk memberikan nilai terbaik kepada para pelanggan.
“Dalam era baharu pasca-COVID-19 ini, kami memahami keperluan fleksibiliti perjalanan. Justeru itu, kami melancarkan Pas Tanpa Had AirAsia yang inovatif dengan menawarkan pas penerbangan yang boleh ditebus kemudian dan ia telah menjadi ikutan penggiat industri penerbangan lain,” tambah beliau.
Bersempena dengan pelancaran ini, airasia.com akan mengadakan jualan terbesar airasia.com (airasia.com Super Sale) bermula 12-18 Okt, 2020 dengan menawarkan diskaun sehingga 90 peratus dalam semua kategori produk di aplikasi super airasia.com dan laman airasia.com.
— BERNAMA