SHAH ALAM: Kerja penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) yang bermula jam 9 pagi semalam siap sepenuhnya jam 11 malam tadi seperti yang dijadualkan.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata Air Selangor kini sedang mengaktifkan semula sistem LRA SSP3.
“Justeru itu, pemulihan bekalan air juga akan bermula seperti yang dijadualkan, iaitu bermula jam 9 pagi ini sehingga 5 petang pada 17 Julai.
“Kepada pelanggan yang terjejas, Air Selangor menasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini kerana bantuan bekalan air ke kawasan perumahan hanya akan digerakkan pada 16 dan 17 Julai.
“Pada masa ini, lori tangki Air Selangor memberi bantuan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Elina berkata, Air Selangor juga menempatkan 82 tangki statik di sekolah-sekolah sebagai persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan, klinik kesihatan dan pusat dialisis.
“Air Selangor akan terus memaklumkan status bekalan air dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram, Aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com, ” katanya.
Pada 6 Julai lalu, Air Selangor menerusi kenyataan Facebook rasminya memaklumkan kerja penambahbaikan LRA SSP3 itu akan menyebabkan henti tugas loji sepenuhnya.
Pihaknya berkata, beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.
-BH