KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberikan titah nasihat supaya semua parti politik bersatu menghadapi COVID-19 dan juga masalah ekonomi.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata baginda juga bertitah supaya isu pelantikan Perdana Menteri baharu diselesaikan melalui lunas Perlembagaan dan negara juga memerlukan cara politik baharu.
Katanya, semua parti politik yang dijemput menghadap baginda turut memberikan pandangan masing-masing.
“Semua (parti) nampak ada konsensus untuk hentikan politik lama dengan cara menghukum dan harus menjurus semula ke arah membangunkan negara.
“Isunya bukan semata-mata pelantikan seorang Perdana Menteri baharu, tetapi yang penting baginda mahu parti politik mengagaskan suatu bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat,” katanya selepas menghadap Seri Paduka di Istana Negara hari ini.
-BH