KUALA LUMPUR: Tiada sekelumit rasa kecewa atau terkilan dalam diri penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok Top 5, ABPBH 35 bagi empat kategori ditandinginya.
Afieq atau nama nama sebenar, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 26, berkata semua itu bergantung kepada rezeki, malah tetap percaya masa untuk dirinya menggenggam sekurang-kurangnya satu trofi tetap akan tiba.
“Sejujurnya, memang tiada sedikit rasa kecewa sebab perjalanan saya dalam dunia seni masih panjang. Bukanlah disebabkan tidak berjaya mara ke Top 5 ini menghentikan kerjaya saya.
“Cuma, saya tetap berpegang masing-masing ada rezeki dan untuk mereka yang berjaya, ini adalah masa mereka. Saya percaya akan ada rezeki untuk saya selepas ini.
“Beberapa tahun dalam industri seni ini, saya bersyukur walaupun tidak menang anugerah bagi kategori yang dicalonkan, orang ramai tetap menyokong dan menerima karya saya,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, Afieq tersenarai sebagai calon Top 20 bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Tajul dan Lagu Paling Boom menerusi lagu, Malam Semakin Dingin.
Kata Afieq, kegagalan berada dalam kelompok Top 5 sebenarnya tidak menghalang atau mengekang kerjaya seni seseorang.
“Sekiranya menang, ia adalah tiket atau platform untuk dilabel sebagai popular. Namun, saya percaya popular ini mempunyai tafsiran berbeza-beza mengikut individu.
“Jadi, saya terima ABPBH 35 ini bukan rezeki saya lagi untuk menang. Sebenarnya, berada dalam senarai Top 20 pun sudah cukup besar.
“Saya sedar, perjalanan seni saya masih jauh dan banyak lagi yang perlu dicuba untuk terus kekal relevan,” katanya.
– BH