Adventoro sasar jadi platform pilihan utama pelancong di Asia Tenggara tahun depan

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR- Adventoro, agensi perjalanan percutian yang menawarkan percutian pengembaraan di Asia Tenggara, menyasar untuk mengukuhkan kedudukannya dan menjadi platform pilihan utama pelancong di rantau ini pada tahun depan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ken Lau berkata walaupun ia mempunyai kehadiran di enam negara di rantau ini selain Malaysia, banyak lagi yang ia perlu dilakukan negara-negara lain seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina berikutan saiznya yang besar dan memiliki banyak daya tarikan.

“Seperti di Malaysia, dengan pasukan kami, kami mengambil masa hampir setahun untuk meliputi destinasi yang kami ada sekarang. Saya rasa bagi Indonesia, Thailand dan Vietnam kami akan mengambil masa yang lebih lama untuk meliputi semua destinasi, jadi ia akan menjadi fokus segera kami bagi tahun ini dan tahun depan.

“Kami tahu had kami kerana kami tidak memiliki sumber yang besar. Walaupun kami mempunyai dana, ia bukanlah jenis yang berkekalan, jadi kami perlu lebih berpilih dalam destinasi yang kami mahu melakukan pengembaraan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebelum melebarkan sayap ke negara-negara baharu, Adventoro akan memastikan ia menggunakan sebanyak mungkin aktiviti dan daya tarikan di negara-negara yang ia telahpun mempunyai operasi.

“Kami tidak mahu berkembang ke negara-negara baharu dan membuka hanya dua atau tiga aktiviti (di sana). Minimum kami adalah kira-kira 10 atau 20 aktiviti. Myanmar adalah sasaran kami seterusnya. kami telahpun berbincang dengan beberapa pengusaha di sana dan begitu juga dengan Filipina,” katanya.

Lau berkata Adventoro bermula sebagai perniagaan separuh masa kira-kira tiga tahun lalu, mengatur lawatan bagi keluarga dengan pengendali pertamanya adalah pengendali aktiviti berakit di Gopeng, Perak

“Selepas beberapa ketika, saya menyedari bahawa pengendali itu tidak pernah membalas pertanyaan saya dengan cepat. Apabila saya menghantar emel kepada dia (bagi pakej lawatan), seminggu baru saya dapat balasan untuk mengesahkan pakej lawatan dan apabila saya mengesahkan semuanya, pengendali berkenaan meminta saya membuat pembayaran di mesin teler automatik (ATM).

“Apabila saya berbincang dengannya tentang perkhidmatan yang lebih baik dan pantas, beliau berkata mereka tidak cukup pekerja. Kemudiannya saya menawarkan bantuan kepada dia untuk menambah baik perniagaannya, dan kami berjaya mendapat beberapa ribu ringgit setiap bulan pada masa itu,” katanya.

Selepas kira-kira sembilan bulan, pada akhir 2016, Lau memutuskan untuk menubuhkan syarikat dan mendapat seorang pelabur dan pada April 2017, beliau menjalankan perniagaan secara sepenuh masa.

Ketika ini, katanya, Adventoro mempunyai 1,400 pengembaraan unik di enam negara di Asia Tenggara dengan Malaysia, meliputi separuh daripadanya, selain destinasi di Singapura, Laos, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

“Tempat-tempat di Malaysia mendapat lebih banyak tarikan, kerana kami mempunyai banyak tempat di sini, bermula lebih awal daripada negara lain. Baru tak sampai setengah tahun kami memulakan destinasi di negara-negara lain.

“Mendaki Gunung Kinabalu merupakan pakej paling laris kami kerana ia merupakan impian utama bagi hampir setiap orang yang mahu melakukan aktiviti pengembaraan di rantau ini,”katanya.

Bagi 2018, beliau berkata syarikat itu memperoleh jualan kira-kira US$300,000 dan akan berusaha meneruskan pertumbuhannya tahun ini.

“Bagi pengendali pertama kami, bagi aktiviti berakit di Gopeng, inisiatif Adventoro ini telah meningkatkan perniagaan mereka, dan mereka berjaya menjana pendapatan yang mencukupi untuk membeli bangunan mereka sendiri.

“Secara puratanya, kami memberikan mereka jualan kira-kira RM10,000-RM20,000 sebulan dalam tempoh dua tahun setengah ini,” katanya.

Lau berkata inisiatif itu juga membolehkan pengendali aktiviti berakit itu membina chalet mereka sendiri bagi pelanggan yang mahu tinggal lebih daripada sehari.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pelancong lebih memilih untuk berkhemah sendiri, kerana ia lebih murah dan mencabar.

Sementara itu, beliau berkata cabaran terbesar yang dihadapi Adventoro adalah mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelanggan mengenai pelancongan pengembaraan, satu daripada segmen pelancongan yang sedang pantas berkembang, walaupun bukan semua orang menggemarinya.

“Pelancongan pengembaraan memerlukan kekuatan tenaga dan kecergasan, jadi apabila telah sampai satu tahap usia tertentu, agak sukar untuk melakukannya.

Menurutnya, pelanggan antarabangsa membentuk 60-70 peratus daripada jumlah pelanggan, kerana orang Barat sememangnya gemarkan pengembaraan percutian seumpama ini, berbanding orang Asia, yang kebanyakannya memilih percutian berkaitan membeli belah, katanya.

Ketika ini, kata Lau, syarikat itu mempunyai lima kakitangan sepenuh masa, bilangan yang agak kecil berbanding kawasan perniagaannya.

“Jadi untuk berurusan dengan destinasi di luar Malaysia, kami biasanya pergi sendiri ke sana. Kebanyakan masanya, kami hanya perlu berjumpa pengendali sekali (sebelum mengesahkan penyertaan), bagi memastikan mereka melakukan perkara yang betul.

“Kadang-kadang, kami melakukan kunjungan misteri, atau kami mengupah blogger untuk pergi ke sana dan membawa balik laporan,” katanya.

Beliau berkata sebarang aduan pelanggan mengenai pengendali akan disiasat dengan teliti sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap pengedali termasuk menggugurkan mereka daripada senarai pengendali Adventoro. -Bernama

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427