Adrian, Weiron, Mior galas cabaran negara di Rome

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEPANG- Pemandu berpengalaman, Adrian Henry D’Silva dan Weiron Tan akan menyertai temasya Sukan Permotoran FIA 2019 yang julung kali dianjurkan di Litar Vallelunga, Rome, Itali,dari 1 hingga 3 November ini.

Kedua-dua pemandu tersebut akan menggunakan jentera Porsche GT3 bersama pasukan Earl Bamber Motorsports (EBM) dalam kategori Piala GT manakala pemenang eRacing Grand Prix SEA, Mior Muhammad Hafiz, akan bersaing dalam kategori Piala Digital bagi melengkapkan pasukan Malaysia.

Sebanyak enam kategori akan dipertandingkan pada temasya itu susulan kejayaan pada Festival GT di Bahrain tahun lalu iaitu Piala GT, Touring Car, Formula 4, Drifting, Karting Slalom dan Piala Digital.

Dalam sidang media di sini, hari ini, pengurus pasukan, Alex Yoong berkata, beliau bertekad untuk memastikan para pemandu pasukan negara bersemangat tinggi dan meminta mereka memanfaatkan sepenuhnya peluang meletakkan Malaysia di peta perlumbaan motor dunia.

Beliau yakin Adrian dan Weiron akan menampilkan persembahan baik dalam kategori Piala GT berdasarkan pengalaman mereka dalam perlumbaan GT manakala Mior merupakan pemandu yang perlu diberi perhatian pada temasya tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Nation Cup.

Pemandu daripada 39 negara telah mengesahkan penyertaan pada temasya sukan permotoran tersebut.

Sementara itu, Weiron berkata beliau akan membawa momentum positif ke Rome selepas kejayaan pada Cabaran GT Dunia Blancpain Siri Asia 2019 di Shanghai, China, minggu lalu.

“ Saya harap kami berdua dapat memberi persembahan baik dan mampu menaiki tangga pertama dalam podium. Kami sudah melalui sesi ujian yang positif. Saya sudah berlumba sepanjang tahun ini dan hanya memerlukan beberapa pusingan untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharu ini,” katanya.– BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427