Adab ahli Parlimen cerminan sistem negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEJAK 26 Julai lalu, jutaan bola mata masyarakat bersilih ganti fokus kepada dua acara penting – Olimpik Tokyo dan Mesyuarat Khas Dewan Parlimen Malaysia.

Kedua-duanya seperti menampilkan persamaan – siapa yang mahu dilihat sebagai juara?

Di Sukan Olimpik, sudah pasti kejuaraan amat ditunggu-tunggu. Di Dewan Rakyat pula, sama ada mahu menjadi juara melawan COVID-19 yang menjadi musuh utama negara kini, atau menjadi juara bergaduh satu sama lain disebabkan perbezaan parti politik. Itu menjadi perhatian.

Hakikatnya, Parlimen kali ini membahang dengan pertikaman lidah dalam setiap perkara, termasuklah berkaitan isu peribadi. Amat mendukacitakan.

Jika dahulu, masyarakat hanya menerima maklumat bertapis kerana tiada liputan langsung dari dalam dewan. Kini dengan langit terbuka, mata masyarakat sendiri melihat tingkah laku ahli politik bermesyuarat.

Adakah serang-menyerang, mencari salah dan kelemahan, mengherdik, menghina serta membuli itu kaedah mencari titik persetujuan dalam pembuatan dasar negara?

Suasana ini meresahkan rakyat ketika kes harian COVID-19 terus memuncak. Titik pertemuan diharapkan untuk menyelesaikan masalah rakyat, menjadi medan pertikaman lidah sesama wakil rakyat yang dilihat tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat.

Masyarakat segenap peringkat ingin melihat bagaimana ahli Parlimen dipilih mereka melalui sistem demokrasi membawa hasrat rakyat dan mencari kesepakatan untuk membangunkan kembali kemelut dan kelesuan kehidupan rakyat. Namun, ia tenggelam timbul dalam pertelingkahan ahli dewan, seolah-olah melepaskan emosi terpendam sekian lama.

Terkini, penganalisis politik, Anas Zubedy menzahirkan pendapat mengenai ketidakmatangan ahli politik berpunca masyarakat tidak matang, memerlukan penelitian menyeluruh kepada rakyat pada segenap peringkat.

Bagaimana sistem pilihan raya, dominasi politik kepartian berkadar langsung dengan pembentukan pemimpin politik berilmu dan berkeperibadian untuk masa depan negara. Jika negara lain boleh membina pelapis kepemimpinan negara yang berwibawa, mengapa tidak kita?

Masyarakat menyaksikan Dewan Parlimen dipenuhi konflik, pergelutan dan hentam-menghentam dalam setiap perbahasan. Adab ditonjolkan seolah-olah hilangnya ikrar berkaitan kesopanan dan kesusilaan yang menjadi pegangan Rukun Negara dalam membentuk sebuah negara bangsa yang bermaruah dan berakhlak tinggi.

Pendidikan bermesyuarat sebegini amat membimbangkan kerana masyarakat dididik dengan adat bermesyuarat yang beremosi berbanding meneliti pokok permasalahan sebenar.

Di Parlimen, semakin hari adab keperibadian pemimpin semakin hilang dan luntur. Kita mahu anak-anak dididik adab keperibadian mulia. Namun, apa yang ditonjolkan di Parlimen mengecewakan semua.

Sudah pasti pada peringkat tertinggi sebegini, mereka mampu sedar di mana mereka berada dan siapa sedang memerhatikan. Tidak cukup melempiaskan nafsu serakah politik masing-masing sehingga mencalarkan nilai kecerdikan dan keintelektualan masyarakat Malaysia di mata dunia.

Persidangan Parlimen bukan hanya perlu menjadikan peraturan dewan sebagai asas perbahasan, tetapi mestilah berasakan kod etika, akhlak serta adab yang melambangkan bangsa kita bersopan santun.

Felo Bersekutu Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427