KOTA BHARU- Minat berniaga biarpun usia sudah 74 tahun menjadikan Mek Yah Mohamed sentiasa bertenaga dengan menjual pelbagai produk kampung berkhasiat termasuk ‘acar temu’ yang dikatakan baik untuk kesihatan.
Bagi memastikan bekalannya tidak putus, warga emas itu menanam pokok temu lawak, temu kunci dan temu putih serta beberapa jenis pokok ulam dan herba di kawasan rumahnya, malah tidak lokek memberi nasihat dan petua kepada pelanggan.
“Sebanyak 100 pokok temu kunci, lawak dan putih ditanam keliling rumah di Kampung Bechah Kura, Peringat dan untuk pelanggan terutama wanita yang suka makan temu untuk kesihatan, saya buat acar temu.
“Acar temu ni boleh dimakan begitu sahaja atau dijadikan ulam cicah budu,” katanya yang ditemui Bernama ketika meniaga di Pasar Tani Pasir Tumboh.
Mek Yah berkata dia mampu menjual hingga 100 bungkus acar temu sehari dan menurutnya tiga jenis temu itu dikatakan mempunyai banyak khasiat dan baik untuk kesihatan dalaman wanita.
“Temu ini juga dikatakan boleh mengurangkan kolesterol dan angin dalam badan …pernah ada pengusaha produk kecantikan datang beli temu,” katanya.
Mek Yah berkata dia berniaga di pasar tani sekitar sejak 10 tahun lepas dan gerainya yang turut menjual pelbagai ulam dan lauk-pauk tradisional sentiasa mendapat sambutan.
“Antara lauk-pauk yang saya buat sendiri ialah kerabu beko, acar pisang gala dan acar umbut kelapa yang dijual dengan harga RM2 sebungkus, ada juga kerisik kelapa yang saya proses sendiri. Ulam-ulaman pula seperti pucuk miding, beko, kunyit dan halia muda,” katanya.
Ibu kepada tiga anak dan sembilan cucu tersebut terus gigih dan dikagumi kerana hanya menaiki kereta sewa untuk membawa barangan jualan ke pasar tani.
Katanya pada hujung minggu dan cuti sekolah, gerainya menjadi tumpuan dan barangan laris dijual dalam beberapa jam sahaja.- BERNAMA