9 GRO warga asing antara 11 individu ditahan polis

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Seramai 11 warga asing termasuk sembilan wanita yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan polis dalam serbuan di pusat hiburan dekat Taman Shamelin Perkasa, Cheras malam tadi.

Dalam serbuan jam 10.20 malam itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berperanan sebagai penjaga premis serta enam pengunjung, kesemuanya lelaki tempatan yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 25 hingga 60 tahun.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata warga asing yang ditahan terdiri daripada dua lelaki Bangladesh yang juga pekerja di premis hiburan itu dan tujuh wanita warga Vietnam serta dua dari Laos.

“Siasatan mendapati premis hiburan ini bukan saja melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, malah tidak mempunyai lesen sah beroperasi dan menggaji wanita asing sebagai pelayan.

“Saringan ujian air kencing dijalankan mendapati 12 orang iaitu enam lelaki tempatan, seorang lelaki Bangladesh dan lima wanita Vietnam positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, benzo dan ketamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, katanya sembilan kompaun berjumlah RM45,000 turut dikeluarkan atas kesalahan terbabit dengan aktiviti terlarang iaitu aktiviti hiburan dalam tempoh PKP terhadap premis dan pengunjung.

“Semakan turut mendapati kesemua warga asing yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan seorang lelaki tempatan yang ditahan akan disiasat kerana terbabit dengan aktiviti judi haram dalam talian.

“Permohonan reman dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Muhammad Idzam, berkata siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427