KUANTAN: Seramai 678 mangsa banjir daripada 185 keluarga di Pahang masih berada di enam pusat penempatan sementara (PPS) di Kuantan dan Pekan, pada 9 pagi ini.
Berbanding petang semalam, portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 858 mangsa daripada 238 keluarga di 11 PPS di tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Maran.
Kuantan mencatat jumlah mangsa banjir iaitu 380 orang daripada 90 keluarga manakala di Pekan pula membabitkan 298 mangsa daripada 95 keluarga.
Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my memaklumkan hanya Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis masih melepasi paras bahaya manakala Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan berada pada paras berjaga-jaga.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan amaran angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Pahang hingga Rabu ini.
-BH