6,200 tidak hadir suntik vaksin di Negeri Sembilan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PORT DICKSON: Kira-kira 6,200 individu tidak menghadiri janji temu suntikan pelalian bawah fasa dua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan membabitkan lapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Negeri Sembilan, sejak April lalu hingga kini.

EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pelbagai alasan diberi pihak berkenaan, termasuk tidak menyemak MySejahtera dan terlepas janji temu.

“Selain itu, ada yang mendakwa PPV jauh dari kediaman mereka. Sebagai contoh, dapat janji temu di PPV Majlis Bandaraya Seremban (MBS) tetapi rumah di luar Seremban.

“Ada juga yang memberi alasan tiada sesiapa dapat menghantarnya ke PPV.

“Selain itu, ada individu tidak dapat hadir kerana menjadi kontak rapat atau dikesan positif COVID-19,” katanya pada sidang media selepas melawat PPV di Hospital UCSI, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Veerapan mengingatkan orang ramai supaya mengambil serius kepentingan suntikan vaksin COVID-19 bagi mengekang penularan wabak itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, lima hospital swasta dan lapan klinik swasta di negeri ini turut dijadikan PPV, termasuk Hospital UCSI, Mawar Medical Centre, Salam Senawang Specialist Hospital, KPJ Seremban Specialist Hospital dan Nilai Medical Centre.

“Lapan klinik swasta terbabit pula ialah Klinik Anda dan Poliklinik Damai di Senawang; Klinik AMC, Klinik Icon, dan Klinik Daniel, Seremban 2; serta Klinik Nisa, Klinik Desaria dan Klinik Dr Lee, Nilai,” katanya.

Dalam pada itu, Veerapan berkata setakat ini, ada 17 kluster COVID-19 yang aktif membabitkan tempat kerja (empat), komuniti (empat), perhimpunan keagamaan (lima), golongan berisiko (dua), pendidikan (satu) dan pusat tahanan (satu).

“Buat masa ini, tiada kluster berkaitan ziarah Aidilfitri dikesan di Negeri Sembilan,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427