MELAKA: Seramai 53 individu termasuk tiga wanita ditahan dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah melalui Ops Sarang/Tapis yang dijalankan di sekitar Alor Gajah, semalam.
Operasi lebih 14 jam yang berakhir jam 4.30 petang itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, IPD Melaka Tengah dan IPD Jasin.
Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid, berkata sebanyak 49 serbuan membabitkan 87 anggota di lokasi dikenal pasti sarang penagih.
“Hasilnya 53 ditahan membabitkan mereka yang berusia antara 18 hingga 41 tahun ke atas, manakala tangkapan wanita berusia 21, 26 dan 28 tahun.
“Turut ditahan seorang lelaki dipercayai tokan dadah selain merampas sejumlah dadah dipercayai syabu dan heroin dianggarkan lebih 50 gram,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan lebih 65 gram dengan nilai RM4,049.-BH