Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya berkata, MCMC berjaya menyekat lebih 3.1 bilion panggilan scam dan memproses hampir 12,000 aduan tahun lalu.
“Perkara itu adalah satu pencapaian penting yang menegaskan komitmen Malaysia dalam menangani ancaman siber dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat,” katanya.
Tambahnya, adalah penting untuk mengimbangi kemajuan teknologi dengan peraturan yang kukuh bagi memastikan pertumbuhan teknologi mampan dapat diteruskan.
“Walaupun teknologi memacu kemajuan, namun ia perlu disokong oleh peraturan yang melindungi pengguna dan menggalakkan inovasi.
“IRC 2025 adalah antara usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan serantau dalam ASEAN bagi menetapkan piawaian digital secara bersama dan memupuk inovasi dalam kalangan negara ASEAN dan seterusnya.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berhasrat memimpin pembangunan dasar serantau yang memberi tumpuan kepada keselamatan siber dan akses teknologi yang saksama bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Fahmi turut menyeru pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam membentuk rangka kerja peraturan yang mengimbangi inovasi dengan perlindungan pengguna.
“Kita mesti secara bersama-sama menangani kerumitan era digital untuk mewujudkan masa depan yang lebih terhubung, selamat, dan inklusif,” tambahnya.
Pada majlis itu, Fahmi turut merasmikan robot kecerdasan buatan Malaysia yang diberi nama Ahmad.
-BeritaHarian