PASIR MAS: Sebuah lagi rumah penduduk musnah menjadikan keseluruhan empat rumah runtuh dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lorong Pohon Celagi, di sini.
Runtuhan terbaru itu berlaku jam 9 malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan kesemua penduduk sudah berpindah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Shapawi Stapa, berkata dua rumah runtuh semalam, manakala dua lagi malam tadi dengan yang terbaharu adalah jam 9 malam.
Katanya, dua lagi rumah berisiko runtuh dengan sebahagiannya sudah roboh.
“Sehingga kini, pergerakan tanah masih aktif dan banyak retakan baharu kelihatan di lokasi kejadian.
“Kita mendapati, runtuhan terbaru membabitkan kelebaran lebih tiga meter dari runtuhan semalam.
“Sehubungan itu, sehingga kini 98 penduduk membabitkan 48 keluarga sudah berpindah. Sebahagian besar mereka berpindah ke rumah keluarga manakala tiga keluarga berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kebanyakan penduduk sempat menyelamatkan barang berharga sebelum kediaman mereka runtuh dalam kejadian itu.
“Cuma sebuah kereta Perodua Myvi gagal diselamatkan sebelum turut menjadi mangsa runtuhan dalam kejadian petang semalam,” katanya.
Media semalam melaporkan, seramai 50 penduduk di Kampung Jalan Pohon Celagi, dipindahkan selepas berlaku tebing runtuh sepanjang 200 meter awal pagi semalam.
Runtuhan berlaku bermula jam 2.30 sehingga 6.30 pagi itu turut mengakibatkan sebuah rumah runtuh dipercayai disebabkan terjahan
air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata pihaknya menerima maklumat berlaku rekahan sejak dua hari lalu sebelum rekahan terbabit semakin ketara mulai malam kelmarin. -BERITA HARIAN