395,891 individu lengkap 2 dos vaksin COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Seramai 395,891 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata seramai 583,903 individu sudah menerima dos pertama menjadikan keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara ini sebanyak 979,794.

Melalui infografik dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor (77,252); Sarawak (61,890); Sabah (54,070); Johor (52,198); Kuala Lumpur (52,110).

Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi sehingga kini ialah Selangor dengan 52,617 individu, seterusnya Perak (43,394), Sabah (41,267); Kuala Lumpur (33,603), Pahang (32,429) dan Sarawak (32,052).

Bagi jumlah pendaftaran program imunisasi itu pula kini berjumlah 8,513,651 atau 35.10 peratus mendaftar dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,277,009 pendaftaran sehingga semalam.

Tempoh pelaksanaan fasa pertama program imunisasi yang bermula Februari hingga April ini akan membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos ini membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427