JOHOR BAHRU: Polis Johor membuka 338 338 kertas siasatan membabitkan pelbagai kes jenayah dilakukan kumpulan Ah Long, di negeri ini bermula awal tahun ini hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sepanjang tempoh itu 296 individu terbabit dalam kes pinjaman wang tanpa lesen ditangkap.
Katanya, daripada jumlah ini, 247 individu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), manakala 49 lagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah.
“Dalam tempoh sama, Polis Johor menumpaskan sembilan sindiket Ah Long. Seramai 41 individu, iaitu 40 lelaki dan seorang wanita warganegara Vietnam, berumur di antara 23 hingga 46 tahun diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)
“Daripada jumlah itu, 10 individu dikenakan perintah tahanan selama dua tahun, perintah pengawasan tempoh dua tahun (21) dan masih dalam tahanan reman POCA (10).
“Kesemua suspek berkenaan terbabit dalam kegiatan Ah Long dengan mengiklan dan promosi pinjaman tanpa lesen, melakukan pelbagai perbuatan khianat seperti simbah cat, khianat dengan api serta ugutan jenayah”, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata bagi tempoh tiga tahun bermula 2018 hingga tahun ini, 31 ahli kongsi gelap berusia antara 22 hingga 56 tahun ditahan.
“Orang ramai diminta membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat kegiatan Ah Long dan kongsi gelap,” katanya. – BERITA HARIAN