328,254 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 7 April — Seramai 328,254 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama, 534,191 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini adalah 862,445.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 73,433 diikuti Sarawak (55,037), Perak (51,469), Sabah (49,203) dan Kuala Lumpur (29,341).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 41,043 individu, seterusnya Perak (34,035), Sabah (33,814), Kuala Lumpur (29,341) dan Sarawak (28,472).

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427