312,390 dos vaksin COVID-19 akan tiba dalam penghantaran pertama – Khairy

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 akan diterima dalam penghantaran pertama ke Malaysia, pada 21 Feb depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata vaksin berkenaan akan diterbangkan dengan penerbangan MASKargo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ia akan diasingkan sebelum dihantar ke pelbagai tempat penyimpanan vaksin di seluruh negara.

“Seperti diumumkan oleh PM@ MuhyiddinYassin, kita akan menerima penghantaran vaksin Pfizer pertama pada 21 Feb,”.

“Pihak tentera dan polis akan mengawal dan menjamin keselamatan vaksin sejak dari awal hingga ke peringkat akhir,” katanya dalam catatan di Twitternya.

Khairy berkata, terdapat vaksin lain yang melalui proses kawal selia di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Semoga kita dapat menambahkan vaksin lain pada fasa pertama,” tambahnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini, berkata beliau akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama pertugas barisan hadapan.

Fasa pertama bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos, bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya.

Sementara fasa ketiga, bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun depan. -BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427