30 rakyat Malaysia akan tiba di tanah air esok

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Semua 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dalam Misi Menyelamat Operasi Sudan (Ops Sudan) akibat pertempuran tentera tempatan di negara berkenaan, akan tiba di tanah air pada jam 4 petang esok.

Mereka akan diterbangkan dari Jeddah, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan komersial Saudi Air.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata mereka akan tiba di KLIA melalui Kompleks Bunga Raya.

“Mereka dijangka berlepas dari sana (Jeddah) pada jam 8 pagi dan tiba pada jam 4 petang waktu tempatan.

“Kepulangan mereka sudah pastinya akan disambut oleh ahli keluarga terdekat dan sanak-saudara,” katanya pada sidang media khas Ops Sudan, di Wisma Putra, petang tadi.

Zambry berkata, pemimpin negara juga dijangka akan turut sama menyambut kepulangan rakyat Malaysia terbabit.

Terdahulu, Zambry berkata, semua 30 rakyat Malaysia terbabit selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal di Jeddah selepas menempuh perjalanan hampir sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.

Beliau berkata, mereka tiba pada jam 1.54 pagi tadi waktu Malaysia, bersama 22 rakyat negara lain.

Sebelum itu, mereka terlebih dahulu menempuh perjalanan darat yang sukar, sejauh 1,233 kilometer selama 30 jam, dari Khartoum untuk tiba di Pelabuhan Sudan. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427