3 rakan didakwa membunuh tukang masak

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membunuh seorang tukang masak di sebuah apartmen servis di Subang Jaya, pada 18 April lalu.

Semua tertuduh, Muhammad Amirul Mohamad Ali, 21; Muhammad Muazzam Ahmad Ruzaini, 20 dan Muhammad Hafiz Daniel Norirman, 20 mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati membunuh G Sharvin, 21 di sebuah apartment servis di Jalan Kemajuan Subang, Subang Jaya pada tengah malam 18 April lalu.

Justeru, mereka didapati bersama-sama melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mati mandatori. Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Amirah Abdul Razak berkata sebutan semula kes akan dilakukan pada 4 Jun depan bagi penyerahan laporan bedah siasat dan kimia.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427