KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan tiga pendekatan untuk memulihkan sepenuhnya laluan serta lereng yang runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebelum bangunan itu selamat diduduki.
Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Datuk Zulkipli Nasri, berkata melalui pendekatan jangka pendek, JKR dalam tempoh dua minggu ini akan menaikkan semula laluan yang runtuh.
Katanya, langkah itu untuk memastikan setiap urusan kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat diselesaikan dan operasi MACA kembali pulih.
“Seterusnya dalam langkah pertengahan, kita akan meletakkan gajet iaitu alat pengesan untuk mengawasi sama ada masih berlaku pergerakan tanah atau tidak. Alat itu akan mengukur pergerakan tanah secara ‘real-time’ (masa nyata).
“Berdasarkan itu, kita akan hadir dengan rekaan (pembinaan dan pemulihan) yang tepat secepat mungkin. Tetapi kita jangkakan langkah ini mengambil sedikit masa kerana ia bergantung pergerakan tanah,” katanya selepas lawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA),Datuk Dr Zulkapli Mohamad Ketua di lokasi runtuhan, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam dan Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Idris Zaharudin.
Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian runtuhan cerun bukan disebabkan faktor semula jadi, sebaliknya berpunca kebocoran kepada sistem perpaipan bekalan air di kawasan itu.
Alexander berkata, kebocoran pada sistem perpaipan mengakibatkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi, seterusnya meningkatkan tekanan sisi pada tembok penahan sedia ada dari jenis ‘contiguous micropile.
Mengulas skala kerosakan di kawasan runtuhan itu, Zulkipli menjelaskan, terdapat sekurang-kurangnya tujuh paip saluran air di situ dan jumlah kebocoran juga dilihat besar.
“SPRM sebelum ini menyatakan bil air ditanggung mereka meningkat dengan tinggi dan itu menjadi indikator awal kerosakan yang terjadi situ.
“Setakat ini, punca kerosakan membabitkan paip yang mengeluarkan banyak air, tetapi penyiasatan lebih terperinci akan kita laksanakan nanti,” katanya. – Berita Harian