3 pekerja ladang kelaparan, kesejukan diselamatkan, terperangkap banjir sejak Selasa

Estimate Reading Time: 2 minutes

GUA MUSANG: Tiga pekerja ladang berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam kawasan ladang kerana tidak sempat menyelamatkan diri dalam kejadian banjir di ladang sawit Chalil, di sini, sejak tiga hari lalu.

Ketiga-tiga mangsa yang ditemukan dalam keadaan kesejukan dan kelaparan berjaya diselamatkan penduduk kampung yang turut serta dalam operasi menyelamatkan semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh, berkata kejadian banjir pada Selasa lalu itu menyebabkan enam pekerja terperangkap.

Katanya, namun tiga daripadanya berjaya keluar dan menyelamat diri keesokan harinya untuk meminta bantuan.

“Ahli keluarga membuat laporan di Balai Polis Paloh pada Rabu lalu apabila mangsa tidak pulang ke rumah. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bersama pihak Polis, Bomba dan Angakatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan turut disertai penduduk kampung.

“Tiga daripada enam pekerja yang terperangkap berjaya keluar pada pagi keesokannya dengan cara bergayut dan menggunakan batang kayu merendah arus sungai yang deras serta berjalan kaki sejauh lebih enam kilometer (km) untuk mendapatkan bantuan.

“Sementara itu, tiga lagi rakan mereka tidak turut serta disebabkan seorang dari mereka mengalami deman dan tidak mampu untuk berenang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nor Azizi berkata, sebelum ketibaan pasukan penyelamat, sebuah bot milik penduduk kampung berusaha menyelamatkan mangsa namun menghadapi kesukaran kerana perlu mengangkat bot dan berjalan kaki.

Katanya, pasukan SAR juga mengalami kesukaran jika menggunakan bot kerana tersekat oleh jalan ladang dan anggota penyelamat terpaksa berenang mengharungi arus deras namun terpaksa menangguh operasi berikutan hari yang semakin gelap.

“Usaha SAR diteruskan dengan menggunakan alternatif jalan dari ladang Koperasi Kerjasama semalam untuk mengambil mangsa.

“Selepas berenang dan berjalan kaki sejauh lebih dua km dari sungai Chalil ke lokasi mangsa, akhirnya pasukan penyelamat menemui lori sawit dan motosikal pekerja terbabit serta pondok yang bina.

“Tetapi tiada kelibat mereka di tempat terbabit kerana dipercayai mereka baru sahaja dibawa keluar dengan bot penduduk kampung yang masuk mencari sejak semalam dengan menggunakan laluan berbeza daripada pasukan SAR,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427