25 rumah atas air di Tanjung Aru musnah terbakar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU: Kira-kira 25 rumah di perkampungan atas air, Kampung Tanjung Aru, di sini, musnah dalam kebakaran, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah di kawasan berkenaan sebelum merebak ke rumah lain.

Beberapa penduduk cuba memadam kebakaran namun api marak begitu cepat disebabkan struktur rumah berasaskan kayu serta faktor angin.

Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jemros Olin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 32 anggota bersama lima jentera ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati api sedang marak dan operasi memadam dilakukan. Api berjaya dikawal 30 minit kemudian.

“Sebanyak 25 rumah musnah dan pasukan bomba berjaya menyelamat sebanyak 986 rumah lagi di kawasan perkampungan atas air berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, laluan ke lokasi kejadian yang agak sempit dan tekanan air rendah menyukarkan operasi pemadaman dijalankan.

Jemros berkata, laporan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

Operasi pemadaman kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427