Estimate Reading Time: < 1 minuteNEW YORK: Serangan bertali arus dilakukan rejim Israel mendorong situasi di Gaza kian memburuk apabila sebanyak 243 lagi rakyat Palestin terkorban dalam tempoh 24 jam.
Maklumat itu didedahkan dalam laporan terbaharu diterbitkan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA).
Angka itu direkodkan dalam kejadian yang berlaku antara Rabu dan Khamis lalu.
Perkembangan terbaharu itu sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan korban akibat serangan udara dan darat oleh rejim Zionis sudah mencecah lebih 10,022 orang di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu.
Dalam laporan UNOCHA, menyebut dua tentera Israel turut terbunuh di Gaza dalam tempoh sama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang maut sekurang-kurangnya 35 orang sejak operasi ketenteraan darat bermula.
Di Tebing Barat yang diceroboh rejim Zionis, tentera Israel bertindak membunuh 19 lagi rakyat Palestin dalam tempoh sama.
Serangan bertubi-tubi dilancarkan rejim Zionis memaksa kira-kira 50,000 penduduk melarikan diri ke selatan Semenanjung Gaza semalam, melalui ‘koridor’ yang dibuka oleh tentera Israel.
UNOCHA melaporkan bahawa ratusan ribu orang kekal di utara semenanjung itu bergelut untuk mendapatkan bekalan air dan makanan untuk meneruskan hidup.
– AGENSI
– BeritaHarian