2020, tahun yang berkilauan untuk emas tetapi malap untuk timah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 14 Dis — Dua komoditi logam yang didagangkan di Malaysia – timah dan emas, jelas sekali tidak bergerak sehaluan tahun ini. Timah agak lesu dan suram tetapi berjaya menarik peniaga dari China kebanyakannya, sementara emas pula terus bersinar kerana ia sering dilihat sebagai pelindung yang selamat (simpanan) ketika berlakunya satu-satu krisis.

Timah akan pulih

Penggunaan dunia untuk timah jatuh buat pertama kalinya sejak 2015, dan menurut para pedagang, permintaan dijangka kekal lesu dalam jangka pendek, didorong oleh penurunan pengeluaran produk elektronik pengguna di celah-celah penguncupan ekonomi global yang disebabkan oleh pandemik.

Pandemik koronovirus telah mencetuskan ketidaktentuan pasaran di seluruh dunia.

“Sekatan pergerakan untuk membendung COVID-19 telah menumbangkan tiga daripada lima negara pengeluar timah terbesar dunia di luar China.

“Minsur Peru, EM Vinto Bolivia dan Malaysia Smelting Corporation menguasai pengeluaran terkumpul berjumlah 55,400 tan tahun lalu, mewakili 17 peratus daripada pengeluaran dunia,” kata seorang peniaga.

Namun begitu, beliau berkata China kekal sebagai pembeli nombor satu tahun ini, diikuti oleh Jepun dan Korea Selatan.

Permintaan untuk produk elektronik pengguna berkait rapat dengan pertumbuhan domestik kasar dan pemulihan ekonomi global “’berbentuk V” telahpun berlaku di China.

Pasaran timah mencecah paras terendah pada 15 Mei dengan rekod harga AS$14,930 satu tan, dipengaruhi oleh pasaran saham dunia yang jatuh menjunam.

Pada ketika itu, komoditi – dari minyak hinggalah ke logam merudum sehinggakan ada kemungkinan berlakunya kemelesetan dunia yang berpotensi melarat ke pasaran dan kredit dan pinjaman.

Pada bulan November, ketika ekonomi dibuka kembali dengan semangat dipacu oleh perkembangan vaksin serta keyakinan terhadap pentadbiran bakal presiden Amerika Syarikat Joe Biden, logam timah mencecah harga tertinggi US$19,230 satu tan pada 30 Nov dan 1 Dis.

Mengenai prospeknya, permintaan timah global dijangka pulih pada tahun 2021, dengan harapan telah tersedia vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh Pfizer, Gilead Sciences, Moderna, dan lain-lain – kesemua ini secara umumnya akan mencetuskan pengembangan ekonomi global.

Pemulihan permintaan terhadap logam timah turut didorong oleh beberapa aplikasi baharu yang akan berkembang pesat dalam bergerak ke hadapan.

Selain itu, pelancaran rangkaian 5G telah bersedia untuk merancakkan sektor telekomunikasi dan penggunaan timah yang semakin meningkat dalam industri elektronik melibatkan pelbagai produk seperti komputer, telefon bimbit, tablet dan peranti alat elektronik pengguna lain.

Peningkatan permintaan untuk kenderaan elektrik – yang menggunakan timah dalam bateri lithium-ion, juga akan menyumbang kepada pemulihan.

Emas terus berkilauan

Tahun 2020 menyaksikan logam berharga ini menjadi tumpuan dan berjaya menarik generasi baharu pelabur emas yang melihat logam ini sebagai aset risiko alternatif yang sangat mengagumkan dan tidak semata-mata sebagai alat lindung nilai “safe haven” (pelaburan yang selamat).

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata permintaan dana dagangan bursa (ETF) emas melonjak tahun ini dan telah membantu emas melambung tinggi walaupun terdapat keperluan fizikal yang lemah di luar Asia.

“Ia juga lebih cenderung untuk memperlihatkan peningkatan ketara pada separuh kedua tahun ini dan lebih nyata dengan trend dan lonjakan bermusim antara 1 Dis dan 31 Jan,” kata beliau.

Harga jongkong emas berada di tahap terendahnya pada 2 Jan, 2020 iaitu RM199.95 segram, dan mencecah puncak tertinggi pada 6 Ogos, 2020 pada harga RM277 segram.

Mengenai prospek logam emas, Innes berkata sama seperti ETF emas yang menarik perhatian ketika harga memuncak, begitulah sebaliknya dan logam emas boleh menjadi sumber penawaran yang signifikan.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427