2 lelaki dikompaun RM3,000 keluar kawasan PKPD

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUNGAI PETANI: Tindakan dua lelaki keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menggunakan lorong tikus di kawasan kelapa sawit berhampiran Taman Bandar Baharu, Sungai Lalang, di sini, gagal apabila mereka ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata kedua-dua lelaki berusia 31 dan 28 tahun itu masing-masing dikompaun RM3,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPD.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 11.20 pagi tadi ketika anggotanya menjalankan pemantauan Ops COVID-19 di sekitar kawasan Bedong, di sini, dan menahan motosikal ditunggangi mereka di tepi jalan lorong tikus di situ.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan didapati keluar dari kawasan PKPD tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan kompaun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427