2 kluster baharu aktiviti ziarah, rentas negeri sambut Aidilfitri di Sabah

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kota Kinabalu: Sabah semalam mencatatkan dua lagi kluster baharu yang masing-masing membabitkan aktiviti kunjung-mengunjungi dan merentas negeri bagi menyambut Aidilfitri.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, dua kluster terbabit, iaitu Kluster Sungai Pukul membabitkan daerah Tawau, manakala Kluster

Kauran-Durok pula membabitkan daerah Keningau.

“Kluster Sungai Pukul di Tawau membabitkan jangkitan semasa aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Aidilfitri di mana kes indeks adalah suri rumah berusia 63 tahun disahkan positif Covid-19 di Hospital Tawau pada 22 Mei lalu selepas mengalami gejala sejak 18 Mei lepas.

“Saringan kontak rapat mendapati tujuh kes positif dalam kalangan keluarga kes indeks pada 25 Mei lalu sebelum 10 lagi kes dikesan menjadikan jumlah kumulatif setakat hari ini sebanyak 18 kes.

“Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak rapat serta punca jangkitan giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Kauran-Durok di Keningau, Masidi berkata, kluster terbabit membabitkan kes Selangor yang dikesan pada 24 Mei lalu di Hospital Serdang.

“Kes indeks adalah wanita berusia 30 tahun yang pulang bercuti ke Sabah untuk menyambut Aidilfitri pada 12 hingga 22 Mei.

“Susulan itu, saringan bersasar terhadap 31 kontak rapat mendapati 12 daripadanya positif Covid-19 iaitu empat kes dari Kampung Kauran dan lapan kes dari Kampung Durok Baru pada 25 Mei lalu.

“Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan semasa sambutan Aidilfitri di antara 19 Mei hingga 21 Mei lalu. Pengesanan kontak rapat juga sedang dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 semalam adalah sebanyak 229 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 61,057 kes dan satu kes kematian direkodkan membabitkan daerah Kota Belud,” katanya.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427