KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka kira-kira dua juta kenderaan menggunakan semua rangkaian lebuh rayanya, setiap hari puncak pada 20 hingga 21 April, 24 hingga 25 April, 29 April hingga 1 Mei, dan 4 hingga 7 Mei ini, sempena Aidilfitri yang menjelang tiba.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata ia membabitkan peningkatan sebanyak 20 peratus pada hari puncak yang dijangka mencatatkan jumlah trafik tertinggi itu, berbanding pada hari biasa.
“Oleh itu, PLUS menyarankan orang ramai yang menggunakan rangkaian lebuh raya kami supaya merancang perjalanan dengan baik dan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada hari-hari puncak.
“Bagi menguruskan lonjakan trafik pada perayaan kali ini, PLUS telah membuat persediaan serta mengatur pelbagai strategi untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan lebih selamat dan selesa di lebuh raya kami.
“Strategi berkenaan merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, pengurusan trafik di plaza tol, pengurusan kemudahan di kawasan rehat, serta hebahan maklumat trafik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PLUS akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam masa terdekat, sebagai strategi untuk mengagihkan trafik dan membantu orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung atau kembali ke Lembah Klang nanti.
Bagi memastikan aspek keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa berada pada tahap baik, PLUS akan terus berkolaborasi dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta advokasi di lebuh raya, sepanjang musim perayaan kali ini.
Selain itu, PLUS menempatkan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) meliputi PDRM, JPJ, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), St John Ambulans, dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di 11 lokasi strategik lebuh raya membabitkan lebih 500 petugas.
Dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian lebuh raya PLUS termasuk di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) pada musim perayaan kali ini, Zakaria berkata, sejumlah 269 pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2Ronda ditugaskan membuat rondaan 24 jam sehari dan membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kecemasan atau kerosakan kenderaan, iaitu meningkat sebanyak 9.3 peratus berbanding hari biasa.
Selain itu, PLUS turut menempatkan lebih 6,000 petugas dari keseluruhan ekosistem lebuh rayanya di plaza tol, kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan laluan utama lebuh raya.
Ia meliputi anggota peronda, pembantu khidmat pelanggan dan penyelia plaza tol, petugas Pusat Pemantauan Trafik (TMC), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) serta kakitangan penyelenggaraan, bagi membantu pengguna lebuh raya.
“Bagi memastikan perjalanan di lebuh raya lebih lancar dan selesa, PLUS akan menghentikan sementara kerja-kerja naik taraf serta penyelenggaraan di lebuh raya, mulai 19 April hingga 1 Mei ini. Dalam tempoh itu, tiada penutupan lorong akan dilaksanakan.
“Namun, sekiranya berlaku kes kecemasan serta terdapat kerja pembaikan kritikal, penutupan lorong terpaksa dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya ketika musim perayaan ini,” katanya.
Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini sempena musim perayaan kali ini di lebuh raya PLUS dan LPT2, menerusi beberapa medium komunikasi dengan mengikuti twitter @PLUStrafik atau twitter @LPT2trafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, stesen radio serta papan tanda elektronik (VMS). – Berita Harian