GEORGETOWN: Pasukan bomba mengambil masa selama dua jam bagi mengeluarkan mayat seorang pemandu kereta jenis Proton Wira yang maut apabila kenderaannya dihempap sebatang poko di tepi Jalan Perak, Jelutong, di sini pagi ini.
Mangsa, Yong Geeng Huei, 53, ditemukan mati dalam keadaan tertiarap di bahagian gear keretanya oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, kira-kira pukul 11.04 pagi.
Pegawai Operasinya, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa lama disebabkan berdepan kesukaran memotong dahan pokok bersaiz pemeluk dua meter yang tumbang di atas kenderaan terbabit.
“Anggota menggunakan gaji berantai untuk memotong dahan pokok yang besar itu dan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa terbabit. Kita juga mendapatkan bantuan kren Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Mangsa ditemukan dalam keadaan menyayat hati dan kematian disahkan pegawai Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi itu turut mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan bomba sukarela berhampiran.
Terdahulu, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa yang memandu kereta seorang diri dalam perjalanan menghala ke pusat bandar dari Jelutong pada pukul 9.30 pagi tadi.
Kejadian juga berlaku selepas hujan lebat di negeri ini sejak awal pagi.–UTUSAN