1,800 keluarga B40 terima bantuan Tabung Warga TNB Prihatin

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kuala Lumpur: Lebih 1,800 keluarga B40 dari seluruh Semenanjung yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menerima bantuan wang tunai dengan nilai agihan melebihi RM1 juta menerusi Tabung Warga TNB Prihatin (WTP).

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Tabung WTP yang dilancarkan pada 9 Jun lalu adalah wadah untuk warga kerja TNB terus membantu rakyat yang memerlukan dalam suasana pandemik yang berlanjutan.

Katanya, inisiatif itu selari dengan kesungguhan syarikat menerangi kehidupan penduduk negara ini.

“Selain warga kerja TNB yang menyumbang kepada tabung dengan nilai lebih RM1.52 juta setakat ini, terima kasih juga saya ucapkan kepada pemimpin kesatuan dan persatuan dalaman TNB yang bersepakat menubuhkan tabung.

“Tidak dilupakan pelbagai pihak yang membantu kami mengenalpasti penerima bantuan.

“Secebis bantuan daripada kami ini diharap mampu mengukir senyuman dan membawa rasa bahagia kepada penerima bagi menempuhi tempoh yang agak sukar ketika ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mahdzir berkata, sambutan baik warga kerja TNB menjayakan tabung ini adalah manifestasi nilai murni budaya syarikat iaitu, prihatin, kerjasama, mengutamakan pelanggan, integriti, profesionalisme dan berwawasan yang amat penting dalam usaha menyeluruh TNB membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mahdzir berkata, TNB juga menumpukan empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa, melindungi golongan rentan, menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi dalam menyokong usaha PPN.

“Tabung amal ini memberi keinsafan kepada warga kerja kami untuk sentiasa berkongsi nikmat dalam suasana ramai yang tertekan akibat pandemik Covid-19 dengan ada yang kehilangan sebahagian punca pendapatan dan pekerjaan.

“Alhamdulillah, menerusi maklum balas penerima berbilang bangsa, rata-ratanya menyatakan bantuan Tabung WTP dapat meredakan kesusahan keluarga masing-masing,” katanya.

Selain Tabung WTP, pelbagai inisiatif dilaksanakan TNB tahun ini, antaranya menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427