16 kes berkait doktor disyaki palsu dokumen rekod pesakit

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesan sekurang-kurangnya 16 kes berkait seorang doktor wanita di hospital kerajaan di Pulau Pinang, yang disyaki memalsukan dokumen rekod pesakit, tuntutan insurans dan PERKESO.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata ia hasil siasatan awal dijalankan pertubuhan itu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PERKESO sedang bekerjasama dengan PDRM mengenal pasti dokumen yang terbabit bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan beberapa dokumen dikemukakan untuk pengesahan, PERKESO mendapati dokumen itu diproses untuk pembayaran tuntutan faedah.

“Hasil siasatan awal juga mendapati sekurang-kurangnya 16 kes dapat dikaitkan dengan pegawai perubatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim, memaklumkan pihaknya sedang menyiasat seorang doktor wanita di hospital kerajaan di negeri itu, yang disyaki memalsukan dokumen rekod pesakit, tuntutan insurans dan PERKESO.

Kegiatan doktor berusia 37 tahun itu terbongkar selepas satu daripada dua mangsa, yang juga doktor ortopedik di hospital berkenaan, menyedari cop rasmi dan tandatangannya digunakan untuk pengesahan dokumen pesakit pada 30 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, PERKESO juga sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sebarang unsur penipuan yang mempunyai modus operandi sama.

Sekiranya terdapat penemuan berkaitan, katanya, PERKESO akan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Memandangkan polis masih menjalankan siasatan terhadap kes ini, sebarang kenyataan lanjut hanya akan dimaklumkan selepas siasatan selesai,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427