14 pendaki ‘sesat’ di Gua Kelam 3 ditemukan selepas 27 jam

Estimate Reading Time: 2 minutes

PADANG BESAR : Seramai 14 pendaki dari kelab rekreasi tempatan yang dipercayai sesat ketika menelusuri Gua Kelam 3, Kaki Bukit di sini sejak semalam, dibawa keluar selepas kira-kira 27 jam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Saifudin Aslin Abbas berkata, pihaknya menerima laporan mengenai perkara tersebut pada pukul 6.50 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat dilakukan melibatkan lapan anggota bomba, dua polis, empat petugas dari Jabatan Perhutan dan empat dari persatuan mendaki yang mula masuk ke dalam gua berkenaan kira-kira pukul 11 pagi ini.

Katanya, pada mulanya, 11 pendaki yang terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita masuk ke dalam gua tersebut tanpa permit pada pukul 11 pagi semalam tetapi tidak dapat mencari jalan pulang.

“Kemudian tiga rakan mereka pula masuk pada pukul 10 malam semalam dengan membawa makanan serta minuman dan cuba membawa mereka pulang, tapi malangnya tiga lelaki tersebut turut sesat setelah berjumpa kumpulan tersebut.

“Pasukan operasi menjumpai kumpulan ini kira-kira pukul 12.30 tengah hari di kolam satu di dalam gua tersebut. Mereka yang berusia antara 18 tahun hingga 30 tahun itu kemudian diberi makan sebelum dibawa keluar pada pukul 2.20 petang,” katanya ketika ditemui di Galeri Gua Kelam, Kaki Bukit di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perhutanan negeri, Fadhilah Mohamad berkata, pendaki daripada kelab tersebut hanya diberi permit untuk membawa dan mengiringi lima pelajar serta pensyarah daripada Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin masuk ke gua tersebut bagi tujuan projek tahun akhir.

Namun, katanya, 11 pendaki itu tidak mengikut pelajar tersebut yang ke Gua Kelam 2 sebaliknya mereka berpecah ke Gua Kelam 3.

“Hanya tiga orang pendaki dari kelab itu yang mengiringi pelajar terbabit dan mereka telah keluar pada pukul 4 petang semalam.

“Walaupun mereka cakap tidak ada meminta bantuan, tetapi bila masuk ke hutan simpanan ini ia adalah di bawah tangggungjawab Jabatan Perhutanan negeri dan kami mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri.

“Apabila mereka sesat dan tidak dimaklumkan maka kami pun bimbang. Kesalahan mereka ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketua kumpulan pendaki tersebut, Muhammad Hafiy Abd. Razak pula menafikan mereka sesat malah mendakwa mereka mempunyai permit.

“Kami tidak sesat kerana sudah biasa dengan jalan di situ malah kami juga merintis jalan baharu. Kami memang tidak bercadang untuk bermalam di sana semalam tetapi kerana kabus yang tebal kami memilih untuk tidak turun.

“Tetapi bagaimana ada laporan yang mengatakan kami sesat sedangkan kami tidak menelefon bomba. Malah kami ada pasukan kami sendiri yang ’standby’ di samping membawa semua peralatan keselamatan sendiri,” jelasnya.-Utusan

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427