Keputusan analisis sampel pencemaran Sungai Batang Benar belum diperoleh – Exco

Estimate Reading Time: 1 minute

SEREMBAN, 12 Okt — Kerajaan Negeri Sembilan masih menunggu keputusan analisis kandungan sampel yang telah diambil dari lokasi punca pencemaran di Nilai, yang telah menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor dihenti tugas pada 4 Okt lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan setakat ini, keputusan rasmi analisis daripada Jabatan Kimia belum diperoleh.

“Biasanya, keputusan akan dapat dalam tempoh dua minggu dari hari sampel dihantar ke Jabatan Kimia…namun kita di pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah meminta untuk keputusan itu dikeluarkan secepat mungkin.

“Dalam pada itu, JAS juga masih menjalankan siasatan di sekitar premis-premis di lokasi pelupusan haram tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai perkembangan keputusan analisis sampel berkenaan di sini, hari ini.

Pada Rabu lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dipetik sebagai berkata polis telah menahan dua lelaki berusia 30an dan 40an, yang disyaki terlibat dalam kes pencemaran Sungai Batang Benar, Nilai dan Sungai Semenyih, Selangor, pada 6 Okt lepas.

Acryl Sani berkata kedua-dua lelaki itu ditahan di Kota Bharu, Kelantan ketika dalam perjalanan pulang ke Nilai.

Pada 5 Okt, Bernama melaporkan Kementerian Alam Sekitar dan Air menyatakan sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, iaitu punca pencemaran di Sungai Batang Benar.

Pencemaran itu menyebabkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Pada Jumaat lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman dipetik sebagai berkata gangguan bekalan air di kesemua 274 kawasan terjejas di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya telah pulih sepenuhnya.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427