KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan 1,110 kes baharu COVID-19 dengan paling tinggi membabitkan penularan tempatan, iaitu 1,107 kes dan hanya tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Menerusi data yang dikongsikan dalam laman sesawang KKMNOW, jumlah yang dinyatakan itu setakat Sabtu lalu.
Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes aktif COVID-19 di negara ini meningkat kepada 16,842 kes.
Daripada jumlah itu, sebanyak 15,801 kes atau 93.8 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.
Selain itu, terdapat 347 kes mendapatkan rawatan di hospital dengan 41 kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Kadar penggunaan wad ICU di seluruh negara pula mencecah 68.3 peratus iaitu 24 kes memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 17 lagi tidak memerlukan alat bantuan.
Kadar kemasukan pesakit COVID-19 di negara ini juga dalam keadaan terkawal apabila terdapat 75.6 peratus menggunakan katil di hospital dengan purata kemasukan ke wad bagi tempoh tujuh hari adalah 337 kes.
Mengenai ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan dalam tempoh tujuh hari sehingga 29 April lalu, sejumlah 4,930 ujian sudah dilakukan dengan kadar positif menurun kepada 12.6 peratus.
Jumlah saringan itu membabitkan 4,633 diuji dengan Kit Ujian Pantas (RTK), manakala 297 pula menggunakan RT-PCR.
Berbanding minggu sebelumnya iaitu sehingga 22 April lalu, jumlah ujian saringan yang dilakukan sebanyak 2,503 dengan kadar positif 17 peratus.
Ujian itu membabitkan 2,155 menggunakan RTK serta 348 pula PCR. – Berita Harian