1 Utama nafi rekod 63 kes Covid-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Pihak pengurusan kompleks beli belah 1 Utama menyangkal laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling (JPBD) bahawa pusat beli-belah itu merekodkan 63 kes Covid-19.

“(Kami) mahu menjelaskan bahawa 1 Utama tidak mempunyai 63 kes Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

“Adalah mengelirukan untuk menyimpulkan bahawa semua kes yang dinyatakan dalam laporan mereka datang dari 1 Utama kerana tiada kes indeks yang dikenal pasti di 1 Utama.”

Semalam, JPBD Petaling berkata, terdapat 63 kes positif di bawah kluster 1 Utama, yang terdiri daripada anggota pengurusan pusat beli-belah, 15 pekerja, 3 pelawat dan 44 pengawal keselamatan.

1 Utama berkata, ujian saringan dibuat ke atas 6,000 kakitangan pusat beli-belah dan staf penyewa mendapati 21 kes positif Covid-19.

“21 individu itu dikuarantin dengan segera oleh Kementerian Kesihatan bagi mencegah dan meminimumkan potensi penyebaran.”

Kompleks beli belah itu berkata pihaknya melakukan ujian saringan untuk mengenal pasti kemungkinan kes positif melibatkan kakitangan dengan segera bagi memudahkan pengesanan kontak rapat oleh kementerian.

Katanya, 44 pengawal keselamatan yang disahkan positif bukan sebahagian daripada pemeriksaan Covid-19 percuma yang dibuat pada 11 Oktober lalu dan bukan dari kompleks tersebut.

“Mereka adalah pengawal kontrak daripada penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang dijangkiti Covid-19 di asrama, bukannya di premis kami.

“Pada awalnya apabila kami diberitahu oleh Kementerian Kesihatan mengenai seorang pengawal yang positif melalui pengesanan mereka, kami mengeluarkan semua pengawal di bawah syarikat yang sama untuk diuji semula dan hanya akan mengerahkan semula selepas dilepaskan. Semua pengawal diuji ketika mereka mula-mula bertugas ,” katanya.

Justeru katanya, adalah tidak tepat untuk mengatakan terdapat 63 kes Covid-19 dari 1 Utama.

“Kami berharap pembetulan dan penjelasan ini memberi gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan semasa.”

1 Utama ditutup selama 14 hari bermula 11 Oktober selepas 4 kes positif dikesan. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427