1 maut, 4 cedera kereta tembung treler

Estimate Reading Time: < 1 minute

KLUANG: Seorang lelaki maut, manakala isteri bersama anaknya berusia dua tahun serta dua lagi mangsa cedera apabila sebuah kereta bertembung treler di Kilometer (KM) 85.5 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang itu, Osman Ismail, 31, yang memandu kereta jenis Perodua Viva, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata insiden dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Seterusnya, beliau berkata, kereta mangsa bertembung dengan sebuah treler yang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Ayer Hitam.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu kereta terbabit cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Isteri mangsa berusia 27 tahun dan anak mereka berumur dua tahun yang turut menaiki kereta itu, serta pemandu dan kelindan treler dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Mohd Faizal Rozali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai nahas terbabit pada jam 5.12 petang.

Susulan itu, beliau berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bergegas ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, anggota mendapati ada mangsa cedera, manakala seorang lagi yang tersepit di dalam kereta pula kemudian disahkan telah meninggal dunia.

“Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil memaklumkan operasi ditamatkan pada jam 6.12 petang.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427