MANCHESTER, England: Jurulatih Manchester United, Ruben Amorim berazam membantu penyerangnya Marcus Rashford menemui semula sentuhan penyudah yang menyaksikannya meledak 30 gol dalam semua pertandingan pada musim 2022-23, tetapi berkata pemain berusia 27 tahun itu perlu berazam terlebih dahulu.
Jaringan Rashford dalam tempoh dua minit ketika seri 1-1 di Ipswich Town Ahad lalu, penampilan sulung Amorim sebagai pengurus baharu United, adalah gol keduanya dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.
Dia menjaringkan lapan gol dalam 43 perlawanan musim lalu.
“Posisi itu bukanlah yang terbaik buatnya, terutamanya dalam perlawanan sebegitu, kami perlu bermula dengan tekanan tinggi, kami perlu menyepak bola banyak kali dan ia seperti bertarung dengan dua gergasi.
“Kami akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik buatnya, begitu juga pemain lain,” kata Amorim kepada wartawan malam tadi, menjelang aksi Liga Europa menentang Bodo/Glimt di Old Trafford.
“Namun dia perlu menjadi Marcus, pertamanya, untuk cuba kembali ke detik itu dan kemudian dia akan mendapat bantuan staf, kelab dan penyokong kerana dia budak Manchester United. Tetapi dia perlu menjadi orang pertama yang mahukannya.”
Amorim berkata, pemain pertahanan Lisandro Martinez cergas untuk diturunkan awal pagi esok dalam penampilan sulung jurulatih itu di Old Trafford, manakala pertahanan Harry Maguire sudah kembali berlatih tetapi tidak bersedia untuk diturunkan.
“Lisandro sudah bersedia. Saya berasakan dia sudah mendapat masa yang mencukupi. Satu situasi berbeza dengan Harry,” kata Amorim.
“Kami perlukan kedua-duanya, tetapi mereka berada dalam satu situasi berbeza. Kedua-duanya menjalani latihan. Harry boleh bersedia tidak lama lagi dan di tengah padang juga.”
Maguire mengalami masalah kecederaan otot ketika United seri 0-0 dengan Aston Villa pada 6 Oktober lalu.
Amorim, 39, tidak sabar untuk menerima sambutan daripada penyokong tuan rumah di Old Trafford.
“Setiap orang menyatakan kepada saya ia akan menjadi satu detik istimewa. Saya hanya mahu menang perlawanan itu. Hanya memberikan kegembiraan kepada penyokong,” kata Amorim.
“Sebelum perlawanan ia bagaikan satu sensasi baharu, tetapi selepas wisel ditiupkan ia satu lagi perlawanan dan kami mahu memenanginya.”
United menghuni tangga ke-15 carta Liga Europa dengan satu kemenangan dalam empat perlawanan dengan lawan mereka dari Norway di tangga ke-12.
-REUTERS
-BeritaHarian