AMIM hargai sokongan Petronas kepada pembina kapal tempatan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 23 Mac — Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) melahirkan penghargaannya kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kerana memberi peluang kepada pembina kapal Malaysia untuk membangunkan Kapal Sokongan Luar Pantai (OSV) bagi industri minyak dan gas.

-Advertisement-

Presiden AMIM, Soo Jee Main berkata di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan Petronas pada 20 Nov, 2020, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menyokong ekosistem pembinaan kapal tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang dan dalam masa yang sama membantu pemulihan ekonomi Malaysia pasca pandemik COVID-19.

“Penggiat industri pembinaan kapal dan pembaikan kapal (SBSR) terutamanya ahli-ahli AMIM berterima kasih kerana OSV baharu ini akan dibina di limbungan kapal tempatan dan bukan di luar negara.

“Selain itu, industri SBSR dan kesan limpahannya boleh memberi sumbangan ketara kepada ekonomi Malaysia bukan hanya kepada limbungan kapal tetapi keseluruhan ekosistem industri maritim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Petronas, baru-baru ini mengeluarkan tender bagi pembinaan 16 OSV di bawah Program Bina Baharunya, yang dikenali sebagai Safina Phase 1, yang mana kesemua limbungan kapal yang disenarai pendek oleh Petronas adalah ahli-ahli AMIM.

Persatuan itu berkata limbungan kapal tempatan mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk mengambil bahagian dalam projek besar nasional seperti projek Safina.

Limbungan kapal Malaysia telah membina lebih 297 OSV sejak 2005, yang dieksport ke negara-negara seperti Australia, New Zealand, Kepulauan Pasifik (Fiji, Tokelau, New Caledonia), Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Turki, Indonesia, Thailand dan Singapura.

-Advertisement-

Sementara itu, untuk terus kekal kompetitif dan berdaya tahan, AMIM berharap pengecualian cukai import dan jualan bagi bahan dan peralatan pembinaan dan pembaikan kapal di bawah insentif  Bona Fide Status dapat diteruskan sehingga selepas Disember 2022.

Soo berkata ini kerana garis masa yang diberikan tidak mencukupi, menyukarkan bagi limbungan kapal untuk merancang dan menggalakkan pelaburan baharu dalam industri SBSR untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan.

“Program Bina Baharu Petronas ini menyasar membina sehingga 100 kapal  dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang untuk menggantikan kapal lama yang telah mencapai had usia 15 tahun.

“Malahan Fasa 1 Program Bina Baharu Petronas pun tidak boleh disiapkan dalam tempoh masa tersebut, kerana, biasanya proses tender atau pembinaan pembinaan kapal mengambil masa enam bulan manakala  tempoh pembinaan kapal adalah kira-kira 18-24 bulan,” katanya.

Justeru, katanya, limbungan kapal mendapati sukar untuk membida kontrak baharu sekiranya kesinambungan insentif Bona Fide Status tidak dapat ditentukan.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427