Ambil iktibar skandal 1MDB

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pembikinan filem berkisar skandal pengubahan wang haram terbesar membabitkan berbilion ringgit daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), iaitu Man On The Run (MOTR), bukan bertujuan memberi gambaran buruk terhadap negara.

-Advertisement-

Sebaliknya, jelas penerbit filem itu, Fabian W Joseph, karya tulisan dan arahan Cassius Michael Kim itu perlu dijadi iktibar, selain mahu memastikan skandal memalukan itu tidak berulang pada masa hadapan.

“Berbanding ketika isu skandal rasuah ini mula dibangkitkan tujuh tahun lalu, hari ini, saya lihat ramai yang sudah mula lupa dan anggap peristiwa itu sudah lama berlaku serta tidak perlu untuk diingat kembali.

-Advertisement-

“Filem ini dihasilkan kerana mahu memastikan rakyat Malaysia tidak akan lupa dengan isu rasuah ini dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku.
“Apa yang kami buat ini demi masa depan negara, bukan memberi gambaran buruk Malaysia kepada dunia,” katanya pada sidang media majlis pratonton filem MOTR di ibu negara, kelmarin.

MOTR yang berdurasi 98 minit mendedahkan kisah mengejutkan mengenai rasuah dan pengkhianatan yang menggegarkan kestabilan kewangan dan politik negara.

Skandal ini turut membabitkan Jho Low, iaitu seorang ahli perniagaan misteri digelar ‘playboy’ yang didakwa merancang mengeksploitasi kekayaan negara menerusi apa yang diketahui umum sebagai 1MDB.

Fabian mengaku terkejut apabila filem yang mengetengahkan isu kontroversi itu mendapat kelulusan penuh Lembaga Penapis Filem (LPF).

“Pada awalnya, kami jangka filem ini tidak akan ditayangkan langsung di Malaysia. Kami melalui proses standard sama.

“Bagaimanapun, selepas filem ini dihantar untuk dinilai, kami terkejut kerana naskhah ini mendapat kelulusan penuh LPF.

“Mungkin perubahan kerajaan Malaysia menyebabkan proses penilaian lebih longgar. Cuma poster untuk versi Malaysia yang kami tukar,” katanya.

Berkongsi mengenai proses pembikinan filem itu, Cassius berkata, cabaran yang terpaksa dihadapi adalah bagaimana mahu menggarap naskhah itu agar menjadi lebih menarik, tetapi, tidak mengabaikan soal fakta.

“Cabaran utama kami adalah bagaimana hendak masukkan semua maklumat yang berjaya dikumpulkan agar tiada fakta tertinggal untuk filem berdurasi 98 minit. Versi sebelum disunting adalah sekitar tiga jam setengah atau empat jam.

“Selain itu, proses untuk mengumpul bahan juga menjadi suatu cabaran. Kami perlu menemubual mereka yang terbabit secara langsung atau tidak dalam skandal ini.

“Ada yang mahu memberi kerjasama dan ramai yang tidak memberi maklum balas selepas kami hubungi individu terbabit dan wakil mereka.

“Untuk pengetahuan, semua individu yang terbabit dalam temubual ini tidak dibayar kerana ia menyalahi etika kewartawanan,” katanya.

Ditanya adakah penerbit berdepan dengan kekangan berbentuk ugutan sepanjang pembikinan filem Man On The Run, Cassius berkata, proses penggambaran lancar.

“Tidak berlaku langsung (ugutan). Bagaimanapun, kami ambil langkah berhati-hati.

“Lagipun, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Karya ini dihasilkan untuk memberi penerangan kepada orang ramai terhadap keburukan yang berlaku kesan daripada skandal itu,” jelasnya.

Diterbitkan syarikat produksi, The Smoking Section dengan kerjasama Evergreen Media, MOTR menemui penonton di pawagam seluruh negara, hari ini.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427