PUTRAJAYA: Pelakon dan pelawak, Along Cham mendakwa isterinya, Afreena Suhaimi sudah melanggar tiga perkara yang ditetapkan dalam perkahwinan sehingga mendorongnya memfailkan pengesahan lafaz cerai taklik.
Along menjelaskan, proses berkenaan perlu diteruskan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang berikutan alamat kediamannya berada dalam daerah berkenaan.
Pemilik nama Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, itu mendakwa antara perjanjian dilanggar Afreena adalah menipu dan membelakangkan dirinya pada tahun lalu, namun, enggan mengulas mengenai perjanjian ketiga.
“Kronologi antara kami kalau nak cerita sangat panjang. Kalian perlu faham mengapa suami bagi lafaz taklik kepada isteri.
“Saya sayangkan rumah tangga. Saya sudah beri peluang dan mengejutkan dia tetap melanggar. Itu saya tak sangka.
“Kalau ikutkan saya letak tiga syarat taklik dan semuanya dia langgar. Syarat taklik ini, antaranya jangan tipu dan membelakangkan saya.
“Mengenai kecurangan, saya tak boleh buat huraian, tapi orang ketiga itu memang wujud. Cuma, ia bukan ke arah curang. Banyak kali dan macam-macam dilakukan di belakang saya,” dakwanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya, hari ini.
Along berkata, dia mahu memfailkan pengesahan lafaz cerai taklik pada 16 Disember lalu, namun, hasratnya terbantut kerana ditahan pihak polis dua hari sebelum tuduhan memiliki dadah.
Katanya, buat masa ini, dia perlu menyiapkan beberapa dokumen, selain tidak menolak berlaku ‘plot twist’ dalam rumah tangganya bersama isteri.
“Inilah jadinya jika berani sangat langgar dan tidak taat kepada suami. Untuk seterusnya saya kena buat urusan pengesahan lafaz taklik, saya akan berkongsi nanti.
“Saya kena uruskan beberapa dokumen dahulu. Saya agak kesuntukan masa sebab kad pengenalan saya pun dia (isteri) pegang.
“Jujurnya, saya tak sempat bernafas lagi, banyak sangat benda berlaku sejak keluar ‘madrasah’ (penjara). Ada ‘plot twist’ antara kami. Jadi, doakan yang terbaik.
“Semua pasangan berkahwin bukan untuk bercerai. Sebagai suami, saya agak terkilan dengan apa yang berlaku. Saya minta maaf bagi pihak ‘Mak Lampir’ itu (isterinya). Kali terakhir berjumpa dengan isteri, semalam,” dakwanya.
Along berkata, dia tidak menyangka rumah tangga dibina selama sembilan bulan itu dilanda masalah.
“Padan muka saya, ‘menggatal’ sangat nak kahwin. Memanglah sedih sebab tiada pasangan berkahwin untuk bercerai,” ujarnya.
Sebelum ini, BH Online melaporkan, Along mengesahkan bakal memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap Afreena.
Along dan Afreena, 32, mendirikan rumah tangga pada 4 April lalu.
Sebelum itu, Along berkahwin dengan bekas peserta musim keempat Akademi Fantasia (AF), Zila Seeron pada Januari 2010.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Ahmad Daniel, 13. Along dan Zila bercerai talak satu pada 29 Ogos 2016.
-BeritaHarian