Alcaraz mahu sebaris legenda

Estimate Reading Time: 2 minutes

LONDON: Carlos Alcaraz berkata dia tidak tahu mengenai had kemampuannya selepas menewaskan Novak Djokovic, tengah malam tadi bagi merangkul gelaran Wimbledon keduanya tetapi percaya jaguh Serbia itu kekal sebagai ‘Superman’.

-Advertisement-

Pilihan ketiga dari Sepanyol itu mengatasi Djokovic yang juga juara tujuh kali 6-2, 6-2, 7-6 (7/4) sekali gus merangkul gelaran Grand Slam keempat dalam kerjayanya.

Alcaraz, 21, yang memenangi tiga daripada lima kejuaraan utama berkata dia mahu menikmati perjalanan menakjubkan yang dilakarnya setakat ini berbanding terlalu memikirkan mengenai masa depan.

“Saya mahu terus bergerak ke hadapan, meningkatkan prestasi, berkembang dan cuba untuk terus mencatat kemenangan. Hanya itu yang penting untuk saya buat masa ini,” katanya.

“Saya tidak tahu sampai mana had kemampuan saya. Saya tidak mahu memikirkan mengenainya. Saya mahu terus menikmati saat ini dan terus bermimpi.

“Jadi, kita lihat nanti di akhir kerjaya saya sama ada 25, 30, 15 atau empat gelaran Grand Slam. Saya tidak tahu. Saya mahu katakan saya mahu menikmati perjalanan ini dan tunggu apa yang berlaku pada masa depan.”

Di sebalik kejayaan gemilang dilakarnya pada usia muda, Alcaraz berkata adalah penting untuk melihat bagaimana dia akan mengakhiri kerjayanya.

“Saya mahu duduk sebaris dengan pemain terhebat. Itu sasaran utama saya. Itu impian saya ketika ini.”

-Advertisement-

Djokovic menetapkan sasaran untuk merekodkan gelaran Grand Slam ke-25 tetapi bergelut untuk mengatasi pemain yang muda 16 tahun berbandingnya di gelanggang utama dan Alcaraz berkata, dia memanfaatkan peluang berikutan kesilapan dilakukan pemain veteran itu.

Alcaraz menyifatkan Djokovic sebagai ‘Superman’ sebelum kejohanan dan berkata, tiada sebab untuk dia mengubah fikiran terutama selepas Djokovic baru saja menjalani pembedahan lutut bulan lalu.

“Saya masih percaya Novak masih Superman disebabkan apa yang dilakukan untuk kejohanan ini dengan pembedahan yang dilakukan beberapa minggu sebelum kejohanan bermula,” katanya.

“Ia menakjubkan. Ia sesuatu yang sukar dipercayai.

“Secara jujurnya, seperti yang saya katakan di gelanggang, saya bercakap dengan pasukan saya yang kerja dilakukan Novak adalah luar biasa,” jelas Alcaraz.

-AFP

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427