Aktiviti fizikal ‘4 minit’ untuk jantung wanita

Estimate Reading Time: 2 minutes

WANITA yang menambah empat minit aktiviti rutin berintensiti tinggi setiap hari seperti menaiki tangga berbanding menggunakan lif, boleh mengurangkan separuh risiko serangan jantung, menurut satu kajian.

Penyelidik mendapati, menjalankan aktiviti fizikal singkat kurang dari lima minit dalam kehidupan seharian boleh memberi kesan ketara terhadap kesihatan jantung, sekali gus mengurangkan masalah kardiovaskular yang serius.

Hasil kajian yang diterbitkan dalam British Journal of Sports Medicine itu, membuktikan dengan menggerakkan badan dan meningkatkan kadar denyutan jantung, walaupun hanya beberapa minit setiap hari boleh memberi perbezaan besar terhadap kesihatan jantung.

Aktiviti fizikal berintensiti tinggi dalam tempoh panjang sudah lama diketahui merendahkan risiko penyakit kardiovaskular.

Namun, sebelum ini tidak jelas sama ada tempoh aktiviti yang jauh lebih singkat dan sering menjadi sebahagian daripada rutin harian juga berkesan meningkatkan kesihatan jantung, serta berapakah tahap minimum diperlukan untuk memberikan kesan boleh diukur.

Penyelidik menyatakan, perkara ini penting bagi wanita yang tidak bersenam secara tetap atas apa jua sebab. Ini kerana tahap kecergasan kardiorespiratori wanita cenderung lebih rendah berbanding lelaki, pada mana-mana peringkat umur.

Dalam kajian ini, penyelidik meneliti kesan ‘aktiviti fizikal gaya hidup berselang yang bersungguh-sungguh’ terhadap kesihatan jantung dalam kalangan wanita dan lelaki.

Manfaat daripada inisiatif ini, seperti berjalan pantas untuk mengejar bas, misalnya, lebih ketara dalam kalangan wanita dengan 1.5 hingga empat minit sehari dapat mengurangkan risiko masalah jantung secara ketara.

Rendah risiko serangan jantung

Penyelidik mencadangkan, aktiviti ini boleh menjadi aktiviti fizikal yang disarankan, terutamanya bagi wanita yang tidak bersenam.

Kajian ini menggunakan data daripada 81,052 individu pertengahan umur yang mengambil bahagian dalam kajian UK Biobank.

Mereka memakai alat pengesan aktiviti selama tujuh hari antara tahun 2013 hingga 2015.

Dalam kalangan mereka, 22,368 orang melaporkan tidak melakukan senaman secara tetap atau hanya berjalan sekali seminggu.

Kesihatan jantung mereka dipantau sehingga penghujung November 2022. Wanita yang mencatatkan purata harian 3.4 minit aktiviti berintensiti tinggi, tetapi tidak melakukan senaman formal, mempunyai risiko 45 peratus lebih rendah mengalami serangan jantung, strok atau kegagalan jantung berbanding wanita yang tidak melakukan sebarang aktiviti.

Secara khusus, risiko serangan jantung adalah 51 peratus lebih rendah manakala risiko menghidap kegagalan jantung adalah 67 peratus lebih rendah.

Hubungan ini kurang jelas dan kurang ketara dalam kalangan lelaki.

Lelaki yang melakukan 5.6 minit aktiviti ini setiap hari tanpa senaman formal hanya mengurangkan risiko serangan jantung, strok dan kegagalan jantung sebanyak 16 peratus.

Sementara itu, jururawat jantung kanan di British Heart Foundation yang tidak terbabit dalam kajian ini, Regina Giblin, berkata kajian besar ini adalah bukti dengan menggerakkan badan dan meningkatkan kadar denyutan jantung walaupun hanya beberapa minit sehari boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan jantung.

“Kita sudah tahu sebarang jumlah senaman bermanfaat untuk mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.

Kajian ini menunjukkan, hanya beberapa minit aktiviti berintensiti tinggi setiap hari boleh mengurangkan risiko kejadian kardiovaskular secara keseluruhan, terutamanya dalam kalangan wanita pertengahan umur yang tidak bersenam secara tetap.

“Namun, bagi individu yang mampu bersenam, saranan kekal bahawa mereka harus mensasarkan sekurangkurangnya 150 minit senaman berintensiti sederhana setiap minggu,” kata Giblin.
-AGENSI
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464