Aktiviti domestik enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Aktiviti ekonomi domestik yang lebih berdaya saing akan dapat meminimumkan kesan kelembapan ekonomi dunia tahun ini, kata ahli ekonomi.

-Advertisement-

Malah, rangka kerja Ekonomi MADANI turut menggariskan bahawa pemerkasaan ekonomi domestik serta menarik pelaburan berkualiti tinggi akan membantu pertumbuhan negara.

Ketua Ekonomi & Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kedudukan negara ketika ini boleh dianggap sudah mencapai guna tenaga penuh, bermakna ramai rakyat yang sudah bekerja dan menerima pendapatan untuk dibelanja serta disimpan.

“Ekonomi domestik adalah enjin pertumbuhan utama negara. Sektor berkaitan pelancongan seperti logistik, makanan dan minimum, perhotelan dan penginapan, penerbangan serta pelbagai lagi industri berkait rapat dengan perkhidmatan dijangka dapat menampan kesan kelembapan ekonomi global.

“Di samping itu, pelaksanaan projek infrastruktur akan merancakkan sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya kepada BH.

Ekonomi Malaysia berkembang sederhana pada 2.9 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua berbanding 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023, didorong terutama oleh permintaan luaran yang lebih perlahan.

Mohd Afzanizam bagaimanapun berkata, terdapat kemungkinan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedia ada disemak semula, memandangkan asas ekonomi pada separuh kedua 2022 adalah tinggi dengan pertumbuhan pada suku ketiga dan keempat masing-masing berada pada 14.1 peratus dan 7.1 peratus.

Justeru, beliau menjangkakan pertumbuhan separuh kedua 2023 lebih perlahan berbanding separuh pertama tahun ini.

Unjuran itu juga, katanya ditambah ketidaktentuan ekonomi global, terutama di China yang menghadapi masalah dalam sektor hartanah.

“Ekonomi di China yang lembab pasti akan dirasai di serata dunia.

-Advertisement-

“Malah, kadar faedah tinggi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menandakan kecairan pada peringkat global adalah kurang dan situasi dijangka memberi kesan kepada momentum pertumbuhan ekonomi luaran,” katanya.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pula berkata Malaysia akan berdepan cabaran untuk mencapai sasaran KDNK 4 hingga 5 peratus tahun ini.

Beliau berkata, ini berdasarkan data Julai yang mewakili suku ketiga masih tidak menunjukkan tanda perubahan drastik, apabila jumlah perdagangan masih rendah dengan eksport turun 13.1 peratus kepada RM116.75 bilion, manakala import menguncup 15.9 peratus kepada RM99.66 bilion Julai lalu.

“Dalam ekonomi yang dipacu eksport seperti Malaysia, pengeluaran perindustrian berfungsi sebagai penunjuk utama prestasi ekonomi negara.

“Prestasi rakan dagang utama juga tidak begitu baik seperti ASEAN, China dan AS. Tiada tanda momentum perdagangan melantun kembali dengan positif buat masa terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, sektor perkhidmatan menunjukkan pertumbuhan baik yang berterusan suku pertama dan kedua 2023 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, menurut data Institut Penyelidikan Ekonomi, indeks keyakinan pengguna menurun kepada 90.8 mata suku kedua 2023 dengan paras maksimum ialah 133 mata dan minimum ialah 51.1 mata.

“Namun, ekonomi negara dijangka mendapat impak positif dengan tekanan harga mungkin terus berkurang berdasarkan kadar inflasi 2.4 peratus pada Julai.

“Ini disebabkan aktiviti ekonomi global yang perlahan, pemulihan rantaian bekalan global, penurunan harga komoditi dan keadaan kewangan dunia lebih stabil iaitu tiada jangkaan kenaikan kadar faedah yang agresif,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427