Akta Covid-19 terlalu lambat, kata kumpulan pembeli rumah

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) membidas Putrajaya lambat dalam mewartakan Akta Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

-Advertisement-

Setiausaha Agung HBA, Chang Kim Loong berkata impak akta itu, yang berkuat kuasa hari ini, 7 bulan selepas negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) “sebahagian besarnya berkurangan sekarang”.

“Pertama, Akta Covid-19 mempunyai satu bentuk perlindungan kontrak, ‘force majeure’ statutori kerana tidak mampu mematuhi kontrak. Perlindungan ini berakhir 31 Dis.

“Tetapi, ia tidak menjejaskan kontrak yang sudah ditamatkan atau disaman sebelum akta itu berkuat kuasa. Oleh itu, perlindungan ini lemah sekarang. Ia hanya mencetuskan lebih banyak pertikaian.” katanya dalam kenyataan hari ini.

-Advertisement-

Chang berkata, akan wujud isu pembangunan perumahan seperti ganti rugi jumlah ditentukan dan caj pembayaran lewat kerana perlindungan untuk perkara itu tamat Ogos lalu.

Terdahulu, beliau berkata, lanjutan dengan pengubahsuaian kepada Seksyen 34 dan 36 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 perlu dilanjutkan sehingga 31 Dis secara automatik.

“Akta Covid-19 kini memerlukan pihak terbabit memohon untuk lanjutan. Pemaju dan pembeli mungkin telah melepasi keadaan itu. Sesetengahnya mungkin melalui proses pertikaian dan yang lain menutup perniagaan.”

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan mengumumkan akta itu akan diwartakan hari ini, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Ia akan berkuat kuasa selama 2 tahun mulai hari ini. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427