KUALA TERENGGANU: Penyerang Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade mengidam untuk menjaringkan gol pertama dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN merebut Piala Shopee menentang PKR Svay Rieng FC dari Kemboja di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Rabu ini.
Pemain dari Nigeria itu berkata, tugas untuk menjaringkan gol sudah pasti akan diletakkan dibahunya selepas penyerang import Ivan Mamut tidak dapat diturunkan kerana cedera.
Bagaimanapun pemain tinggi lampai itu mengakui ia tidak semudah perancangan, sebaliknya perlu bekerja lebih keras kerana skuad kendalian Josep Munoz itu adalah juara Liga Kemboja musim lalu.
“Saya tidak tahu sangat mengenai kelab Kemboja itu, tapi saya ada buat rujukan dalam media sosial pasukan itu bagus lebih-lebih lagi kejayaan muncul juara liga mereka tahun lalu.
“Pasukan itu juga mengamalkan formasi 3-5-2 dan gemar menyimpan bola, situasi itu sudah pasti menyukarkan kami untuk menyaingi mereka.
“Tapi saya yakin TFC akan peroleh tiga mata atas beberapa faktor termasuk keserasian antara kami selain beraksi di tempat sendiri dengan ribuan peminat setia.
“Pada masa sama sebagai pemain bola, saya kena yakin untuk menang dalam setiap perlawanan dan memberikan komitmen 100 peratus, manakala selebihnya adalah kehendak Ilahi,” ujarnya ketika dihubungi.
-BeritaHarian