KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,000, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan Lans Koperal Shafiq Kharidan, 28, dan Koperal Muhamad Nurlizam Ali, 35, dipenjara sembilan bulan lagi jika gagal membayar denda.
Ahmad Zamzani membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 21 saksi pendakwaan serta tiga saksi pembelaan dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Kedua-dua tertuduh yang semasa kejadian bertugas di cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis, dihadapkan ke mahkamah kali pertama pada 15 Ogos 2018.
Pada prosiding itu, peguam Datuk Shukri Mohamad memohon mahkamah membenarkan penangguhan hukuman kerana kedua-dua anak guamnya berhasrat memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
“Mereka kini berniaga sendiri selepas digantung kerja dan tidak pernah gagal hadir ke mahkamah setiap kali perbicaraan diadakan. Shafiq walaupun belum berkahwin menanggung ibu bapanya manakala Muhamad Nurlizam mempunyai tiga orang anak,” katanya.
Ahmad Zamzani membenarkan permohonan penangguhan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan tersebut selesai didengar dan jaminan RM5,000 yang dikenakan sebelum ini dikekalkan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nadzirah Zahari.
-Metro