Aibkan bekas Naib Canselor, denda bekas Presiden UMANY naik jadi RM10,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menaikkan denda RM5,000 kepada RM10,000 terhadap bekas presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) kerana mengaibkan serta membangkitkan kemarahan bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Abdul Rahim Hashim, ketika istiadat konvokesyen universiti itu, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan terhadap denda RM5,000 dijatuhkan ke atas Wong Yan Ke oleh Mahkamah Majistret di sini pada 9 Oktober 2023.
Mahkamah turut menaikkan hukuman penjara dari tiga bulan kepada enam bulan, jika gagal membayar denda.
Muhammad Jamil turut menolak rayuan Wong, 29, selaku perayu terhadap sabitan dan hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Dalam penghakiman ringkasnya, hakim itu berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan dan majistret yang mengendalikan bicara memberikan alasan dalam menyampaikan keputusannya.

“Setelah meneliti keseluruhan kes, tiada keraguan dalam kes pendakwaan dan kesalahan seperti pertuduhan dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

“Tidak ada alasan mencukupi untuk mengganggu keputusan majistret bicara yang mensabitkan perayu dan sabitan ke atas perayu adalah selamat, oleh itu sabitan terhadap perayu dikekalkan,” katanya.

Hakim bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa denda RM5,000 adalah tidak mencukupi dan tidak bersesuaian dengan fakta dan keadaan kes berkenaan.

“Denda RM5,000 diketepikan dan digantikan dengan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika denda gagal dibayar.

“Saya difahamkan perayu telah membayar RM5,000 sebelum ini, oleh itu dia dikehendaki membayar RM5,000 lagi,” katanya.

Pada 26 Februari 2020, Wong yang juga bekas pelajar kejuruteraan, didakwa sengaja mengaibkan serta membangkitkan kemarahan Abdul Rahim dan tetamu dengan tindakannya yang boleh menjejaskan keamanan awam ketika Istiadat Konvokesyen UM ke-59 di Dewan Tunku Canselor UM di sini pada 10 pagi, 14 Oktober 2019.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464