Ahli FINAS sokong Zakaria, Ahmad Idham

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) termasuk pengurusan badan itu menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Pengerusi, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

-Advertisement-

Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Norman Abdul Halim, berkata Zakaria dan Ahmad Idham berjaya menerajui FINAS sebagai badan yang bertanggungjawab memajukan industri kreatif mengikut Akta FINAS 1981 (Akta 244).

“Sepanjang kepimpinan Zakaria dan Ahmad Idham, FINAS melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi antaranya pelancaran Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) dan Dana Kandungan Digital (DKD),” katanya dalam kenyataan.

-Advertisement-

Norman berkata, inisiatif lain termasuk Program Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC), Program Akreditasi dan Pentauliahan Dalam Industri Kandungan Kreatif, Bengkel Kemahiran YouTube dan Komuniti Sinema serta Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak.

“FINAS juga tidak meminggirkan perihal kebajikan warga penggiat industri kreatif tempatan dengan melaksanakan Program FINAS Prihatin dan pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Komuniti Seni Prihatin.

“Selain itu, FINAS melaksanakan Insentif Saringan Prihatin yang memberi manfaat terhadap penggiat industri kreatif tempatan dalam mendepani cabaran penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Norman Abdul Halim. - Foto IG Norman Abdul Halim
Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Norman Abdul Halim. – Foto IG Norman Abdul Halim

Norman berkata, bagi mengimbangi aktiviti ekonomi industri kreatif dan meminimumkan impak penularan COVID-19, FINAS melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil langkah proaktif mendapatkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti penggambaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sektor industri kreatif juga terus diberi perhatian apabila kementerian melancarkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat industri kreatif negara,” katanya.

Norman berkata, FINAS sentiasa terbuka dalam menerima cadangan jika wujud perkara berbangkit tetapi perlulah disampaikan melalui saluran betul.

“FINAS dijangka mengadakan sesi townhall secara maya bersama penggiat industri kreatif bagi membincangkan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.

“Ini bagi merealisasikan agenda bersama dalam mengantarabangsakan industri kreatif tempatan dan memenuhi aspirasi warga industri kreatif,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427