Ahli ekonomi tidak setuju pemberian manfaat dana rangsangan jika gelombang baharu Covid-19 tercetus

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed mengenai suntikan tambahan dana kerajaan untuk menstabilkan ekonomi sekiranya berlaku gelombang keempat jangkitan COVID-19 mendapat reaksi bercampur-campur dua ahli ekonomi.

-Advertisement-

Jaminan Mustapa menyusul selepas timbul kebimbangan terhadap gelombang keempat Covid-19 dan beliau dipetik berkata kerajaan belum menetapkan sebarang had jumlah dana tambahan itu kerana nyawa dan pekerjaan rakyat menjadi keutamaan.

Goh Lim Thye, pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya (UM), berkata suntikan dana tambahan akan diperlukan sekiranya negara terpaksa dikenakan sekatan pergerakan sekali lagi.

“Impak ekonomi akibat sekatan adalah ketara. Ekonomi Malaysia menyusut 8.3% pada separuh pertama 2020, 17.1% pada suku kedua, dan 2.7% pada suku ketiga. Gelombang keempat jangkitan Covid-19 pasti sukarkan lagi pemulihan ekonomi Malaysia,” katanya.

Namun, Goh berkata dana rangsangan itu perlu lebih bersasar untuk mengelakkan perbelanjaan yang tidak perlu.

“Walaupun benar bahawa tiada had ditetapkan (untuk dana) bagi membolehkan fleksibiliti dalam pembuatan dasar, itu mungkin pula meningkatkan defisit fiskal Malaysia.

“Selain itu, untuk membiayai defisit, hutang negara kita dijangka sedikit meningkat. Hutang negara kita dilaporkan mencecah 61% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2021, meningkat daripada 60.7% pada 2020 dan 52.5% pada 2019,” katanya.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Carmelo Ferlito, bagaimanapun, membantah idea itu, dengan mengatakan dana tambahan itu tidak akan memberi banyak perbezaan dalam menangani kemerosotan ekonomi berikutan sekatan pergerakan dan had aktiviti ekonomi adalah “penyebab utama” krisis kewangan negara.

“Saya rasa Malaysia kini sedang menuju pada jalan yang betul dengan melonggarkan SOP. Sekiranya kita teruskan begini dan mengelak mengenakan peraturan lebih ketat yang sebenarnya tidak berkesan dalam memerangi virus, maka kita tidak akan memerlukan dana tambahan,” katanya.

Beliau malah mencadangkan agar kerajaan memikirkan strategi untuk membuka semula sempadan bagi tujuan perniagaan, terutama dalam kalangan negara Asean.

“Krisis Covid-19 ini bukan sahaja menunjukkan potensi digitalisasi tetapi juga hadnya. Aktiviti perniagaan memerlukan interaksi fizikal dalam menghasilkan strategi jangka panjang yang akan mewujudkan kesan limpahan positif terhadap pekerjaan,” katanya.

Ferlito mengkritik keputusan untuk tidak menetapkan had pada dana yang bakal diusulkan, kerana beranggapan perbelanjaan setiap negara perlu dirancang dengan teliti.

” Perbelanjaan tambahan akan semakin menghasilkan gabungan inflasi dan hutang, seterusnya bermaksud kadar kemiskinan lebih tinggi disusuli cukai yang lebih tinggi pada masa depan,” katanya.

Beliau turut kemungkinan wujud beban untuk generasi akan datang, persaingan yang semakin berkurang dan peningkatan penghijrahan individu (brain drain) jika negara terus menghabiskan dana sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427